KEJATUHAN nilai Ringgit Malaysia berbanding Dolar Amerika Syarikat, harga minyak mentah dunia semakin merudum hingga mencecah AS$29 setong dan kenaikan kos sara hidup semakin menjerut leher rakyat antara indikator awal kemelesetan ekonomi kembali berulang pada 2016.

Kebimbangan itu yang disuarakan hampir semua peringkat masyarakat itu kini mendapat perhatian semua pihak khususnya pakar ekonomi dan NGO yang mahu kerajaan segera mengambil jalan keluar kepada permasalahan ekonomi yang melanda negara.

Ikuti wawancara Wartawan Online Sinar Harian, NIZAM ZAIN bersama Presiden Pertubuhan Profesional Melayu & Pewaris Bangsa (ProWaris), FERIZ OMAR baru-baru ini untuk mengupas lebih lanjut polisi kerajaan ketika berdepan kemelut ekonomi negara.

SINAR ONLINE: Sejauh manakah prestasi ekonomi negara selepas pentadbiran negara diambil alih Datuk Seri Najib Tun Razak sejak 2009?

FERIZ OMAR: Pelaksanaan pelbagai polisi kerajaan dalam satu fasa serentak seperti Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), penarikan subsidi minyak, kenaikan kadar tol, iltizam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi dan mengubah lanskap pembangunan negara daripada penswastaan kepada inisiatif awam adalah punca kecelaruan sistem ekonomi negara.

Sejak Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Timbalan Perdana Menteri sehingga penggal pertama beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia Ke-6, beliau adalah jaguh dalam menyelesaikan pelbagai kemelut semasa dan isu Rakyat. Kini, beliau kelihatan seolah-olah lebih mendahulukan hubungan antarabangsa daripada memahami detak nadi rakyat.

Wawasan Najib berteraskan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang menjurus kepada ‘Ekonomi Rakyat’ serta berasaskan model ‘Negara Berpendapatan Tinggi’ yang dicadangkan oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), sepatutnya dilaksanakan sesuai mengikut fasa demi fasa seiring dengan keadaan semasa ianya dilaksanakan.

SINAR ONLINE: Mengapakah berlakunya kecelaruan ekonomi dan kedudukan rakyat Malaysia?

FERIZ OMAR: GST sebenarnya boleh dilaksanakan pada kadar lebih rendah sehingga sistem pelaksanaannya efektif sebelum ia dinaikkan berperingkat-peringkat sehingga mencapai kadar penuh enam peratus.

Memang jelas kerajaan kini telah cuba melaksanakan konsep negara maju dengan memperkasakan rakyat sebagai pengguna, suatu perkembangan positif.

Kerajaan menganggap bahawa budaya ini akan memindahkan penguatkuasaan melalui pemerkasaan komuniti Pengguna.

Namun budaya ini memakan masa untuk diterima dan ia menggalakkan ‘pencatutan’ melampau di kalangan ‘orang tengah’.

Selagi pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) tidak menambahkan kekuatan penguatkuasaannya, ketidakstabilan harga sebenar penawaran dan permintaan berterus-terusan akan berlaku.

SINAR ONLINE: Apakah punca kenaikan kos sara hidup pada masa ini?

FERIZ OMAR: Penarikan subsidi minyak, kenaikan kadar tol dan iltizam menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi telah meningkatkan kos sara hidup yang melampau.

Mengikut analisa kami, untuk mencapai misi Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita AS$15,000 pendapatan seisi rumah sebenar kini mencecah RM5,000 hingga RM6,000 bagi membiayai kos kehidupan sebulan di Kuala Lumpur memaksa warga kota meminjam, sekali gus menjarakkan diri daripada memiliki hartanah.

Sekali gus, isu Melayu tidak memiliki hartanah terutama di kawasan bandar akan menjadi lebih kritikal.

Yang paling menyedihkan badan-badan yang diberi amanah untuk membantu Melayu memiliki hartanah di bandar-bandar utama tidak membantu lagi seperti dahulu.

Akhirnya Melayu akan terus terpinggir sekiranya KPI yang berasaskan keutungan semata-mata menjadi matlamat agensi-agensi kerajaan.

SINAR ONLINE: Bagaimanakah prestasi ‘Pelaburan Langsung Asing (FDI) dan persaingan Malaysia dengan negara serantau?

FERIZ OMAR: Tanggapan nilai mata wang ringgit yang rendah memberi kelebihan kepada pelabur asing untuk melabur di Malaysia, ia adalah untuk jangka masa sementara.

Kita perlu ingat bahawa dua elemen kos utama yang menjadi penilaian para melabur untuk melabur di dalam sesebuah negara.  Pertama, kos pekerja dan kedua, kos bahanapi.

Kini, yang menjadi penilaian para pelabur asing adalah saingan negara serantau seperti Cambodia, Laos dan Vietnam yang mampu menawarkan suasana pelaburan pada kos pekerja yang jauh lebih rendah.

Walaupun mereka jauh ketinggalan dalam pembangunan berbanding Malaysia, kita perlu akur terhadap maklum balas negatif para pelabur asing terhadap kos pekerja Malaysia yang tinggi walhal tahap kemahiran insaniah (soft skills) pekerja di Malaysia jauh di bawah piawaian antarabangsa.

Paling tidak boleh diterima akal apabila kos bahan api Malaysia masih tinggi bila harga minyak Brent diramal jatuh sehingga mencecah AS$20 hingga AS$25 setong manakala gaji upah pekerja dan kos pengangkutan juga tinggi dalam suasana ekonomi merudum.

Jika berterusan, para pelabur tidak meletak Malaysia sebagai pilihan pelaburan dan akhirnya mengakibatkan pelaburan langsung ke Malaysia (FDI) jatuh mendadak.

Di atas alasan ini juga, wawasan Datuk Seri Najib melalui ETP yang mampu menawarkan 3.3 juta pekerjaan dan menarik AS$444 billion pada 2020 sukar dicapai dalam suasana kos gaji atau upah pekerja yang dipantau melalui polisi gaji minima menjadi kayu ukur pelabur untuk melabur ke Malaysia.

Hanya waktu menentukan apabila semua sektor pelaburan dari sektor perkilangan hingga perladangan tergugat.  Ini telah pun bermula dengan sektor minyak dan gas.

SINAR ONLINE: Adakah kemerosotan ekonomi Malaysia turut memberi kesan besar kepada tahap pengangguran?

FERIZ OMAR: Tahap pengangguran 400,000 rakyat Malaysia yang sebahagiannya adalah graduan institut pengajian tinggi (IPT) diramal akan meningkat secara mendadak sehingga mampu menjangkau hampir sejuta orang pada 2018.

Keadaan itu berlaku setelah kemasukan lebih 1.5 juta buruh Bangladesh ke negara ini dan sekiranya kemelut ekonomi global serta Malaysia masih berlarutan.

SINAR ONLINE: Sejauhmanakah pentingnya pembangunan industri hiliran dalam sektor ekonomi Malaysia?

FERIZ OMAR: Walaupun sektor minyak dan gas mencecah hampir 20 peratus dari pendapatan negara, namun Malaysia bergantung kepada komoditi kelapa sawit dan getah yang menjadi tunggak ekonomi negara selama berdekad lamanya.

Kesilapan terbesar Malaysia adalah sektor-sektor ini tidak membangunkan industri-industri hiliran yang mampu menjana ekonomi dari ‘A sampai Z’ di setiap peringkat.

Usaha kerajaan dalam pelbagai industri seperti nanoteknologi, bioteknologi dan ICT sepatutnya menjadi penjana pendapatan tinggi ekonomi negara masih terbantut ekoran daripada sikap tiada kesinambungan yang berkesan sekali pun ratusan juta ringgit telah dilaburkan oleh kerajaan.

Malaysia kini hanya sekadar mampu memuja-muja nama para saintis dan pakar komputer dan internet luar negara seperti Bill Gates, Steve Jobbs dan Mark Zuckerberg.

Dalam pada masa yang sama juga, barang buatan Malaysia perlu dipromosikan seberapa agresif mungkin seperti yang dilakukan dulu.

Kempen rasionalisasi mengenai siapa lagi yang akan menyokong dan membeli barangan buatan Malaysia kalau bukan rakyat Malaysia sendiri perlu dibincangkan secara terbuka.

Ia bakal menjadi titik-tolak kepada usaha menembusi pasaran antarabangsa. Perlu diambil serius juga, insentif kerajaan dalam pelepasan cukai ke atas kos pengiklanan barangan buatan Malaysia perlu dikaji, dicadang dan dilaksanakan.

SINAR ONLINE: Bagaimanakah tahap keberhutangan isi rumah berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia semasa?

FERIZ OMAR: Hutang isi rumah per KDNK Malaysia adalah 87.6 peratus pada 2014 merupakan yang tertinggi di Asia Tenggara dan dijangka bertambah pada 2015 apabila laporan disiapkan.

Sekalipun hutang hartanah merupakan portfolio pelaburan paling selamat dan kurang berisiko, namun kejatuhan ekonomi global dan Malaysia sekiranya tidak dipantau bakal meletupkan buih pelaburan (bubble burst) hutang hartanah negara yang kian membesar.

SINAR ONLINE: Adakah wajar paras insolvensi negara disemak semula mengikut keadaan ekonomi semasa?

FERIZ OMAR: Sebelum tekanan ekonomi 2016 memuncak apabila komitmen rakyat terhadap pembiayaan rumah dan kereta tidak dapat ditunaikan, tahap pengisytiharan insolvensi Malaysia yakni RM30,000 perlu ditingkatkan ke paras lebih tinggi di antara RM80,000 hingga RM100,000 sesuai dengan suasana ekonomi Malaysia mutakhir.

Walaupun hanya lebih kurang 270,000 Rakyat Malaysia sudah pun diisytihar muflis, jumlah ini akan meningkat dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Kira-kira 45 peratus daripada golongan ini terdiri daripada orang Melayu. Tindakan meningkatkan tahap insolvensi negara ke tahap RM80,000 hingga RM100,000 juga mampu mengelakkan kerajaan daripada menggunakan duit rakyat menanggung subsidi kos proses insolvensi individu dan syarikat.

Cadangan tahap insolvensi RM80,000 hingga RM100,000 itu adalah anggaran harga rumah murah bagi rakyat di bawah paras kemiskinan negara.

SINAR ONLINE: Adakah dasar penswastaan mampu mengelakkan Malaysia daripada menanggung hutang yang melabung tinggi?

FERIZ OMAR: Hutang Malaysia juga kini mencecah RM847.0 billion dan para penganalisis ekonomi membuat unjuran bahawa ia tidak mustahil jika hutang negara mencecah RM1.0 trillion menjelang 2020.  Rezab negara setakat ini tidak termasuk pungutan GST 2016 hanya mampu bertahan untuk lapan setengah bulan.

Sekiranya benar bahawa Malaysia tidak lagi mampu meneruskan projek-projek mega memandangkan dana kerajaan semakin berkurangan, maka Datuk Seri Najib perlu meneliti dan membenarkan semula model penswastaan dalam membangunkan negara dengan memberikan keutamaan kepada usahawan Melayu.

Isu ketelusan dalam pembidaan projek melalui penswastaan boleh diselesaikan dengan wujudnya panel beraudit yang mewakili pelbagai komuniti bebas berlatarbelakangkan aliran yang berbeza.

SINAR ONLINE: Apakah langkah yang wajar diambil untuk menangani kecelaruan ekonomi dan kedudukan rakyat?

FERIZ OMAR: Kerajaan perlu menetapkan kadar rendah harga minyak dalam suasana kejatuhan harga minyak agar ia memberi impak pembetulan ke atas harga barangan secepat mungkin. Rakyat akan kembali tenang dan menikmati harga barangan yang sepatutnya.

Tindakan ini juga mengurangkan kerugian para pengusaha minyak Bumiputera yang sekarang berdepan dengan cabaran membeli stok minyak pada harga tinggi dan menjual pada harga rendah.

Kerajaan perlu ingat bahawa hampir keseluruhan pengusaha stesyen minyak di Malaysia ialah orang Melayu dan Bumiputera.

Kerajaan juga digesa mewujudkan moratorium penarikan keluar pelaburan asing buat sementara walaupun ia bercanggah dengan konsep yang dilakukan kerajaan sekarang yakni, mendedahkan ekonomi kepada pasaran terbuka.

Selain dari tempoh percuma cukai, pelepasan cukai kos berganda, pelbagai insentif bagi menarik pelaburan asing baru perlu ditingkatkan. Walaupun TPPA ditandatangani sekalipun, insentif melabur di Malaysia perlu jauh lebih menarik dari negara-negara lain.

Itu semua bagi pelaburan baru.  Ingat, kerajaan tidak boleh lepa dan perlu memanjangkan insentif pelaburan bagi pelaburan yang tamat tempoh agar para pelabur terus kekal di Malaysia.

SINAR ONLINE: Sejauhmanakah kemahiran politik Najib dalam menangani ketidakstabilan politik Malaysia? Adakah benar Najib lebih mementingkan hubungan luar negara?

FERIZ OMAR: Rakyat sendiri menjadi saksi bahawa Datuk Seri Najib adalah jaguh dalam menyelesaikan pelbagai kemelut semasa dan isu rakyat sejak beliau memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri sehinggalah penggal pertama beliau memegang jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Namun sikap Datuk Seri Najib itu secara 'tiba-tiba' berubah bermula dari insiden Ops Daulat Lahad Datu yang dilancarkan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) ke atas pejuang-pejuang Kesultanan Sulu.

Datuk Seri Najib pernah mengarahkan siasatan hubung-kait kelompok tersebut dengan Moro National Liberation Front (MNLF).

Dalam pada itu juga, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein (Menteri Pertahanan) pada September 2014 sendiri isytihar bahawa MNLF bekerjasama dengan Abu Sayyaf yang mempunyai rangkaian dengan ISIS untuk menubuhkan ‘Islamic State’ dari Filipina hingga ke Indonesia yang merangkumi Brunei, Sabah dan Sarawak.

Sejak dari insiden di atas, maka berlakulah beberapa perisitiwa penting dalam sejarah Malaysia.

Antaranya insiden Lahad Datu pada 11 Februari 2013, kehilangan MH370 pada 8 Mac 2014, kedatangan Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama ke Malaysia buat kali pertama pada 27 April 2014, insiden MH17 terhempas kerana ditembak jatuh pada 17 Julai 2014, Datuk Seri Najib bermain golf dengan Presiden Obama pada 24 Disember 2014, kedatangan Najib ke New York, Amerika Syarikat  pada 24 September 2015 dan terakhir kedatangan Presiden Obama ke Malaysia buat kali kedua pada 20 November 2015.

SINAR ONLINE: Apakah harapan ProWaris terhadap kepimpinan Datuk Seri Najib?

FERIZ OMAR: Kami, golongan profesional Melayu berada di posisi di antara rakyat dan kerajaan.  Kami juga yang mengimplementasikan kesemua polisi kerajaan.

Kami juga yang pertama merasai keluh-kesah rakyat yang terpaksa berhadapan dengan pelbagai polisi kerajaan yang membebankan.

Apa yang kami luah dan kongsikan adalah benar berlaku di peringkat akar umbi. Jika tidak diendahkan, kelak melaratlah hidup rakyat, hancurlah kerajaan.

Kami yakin Datuk Seri Najib berjiwa besar sedia tahu bahawa permasalahan domestik dan antarabangsa perlu dibincangkan dalam kalangan pemimpin terdekat dan diselesaikan segera sebelum fitnah dan malapetaka besar melanda.

Selain itu, perpecahan dan konflik di kalangan kepimpinan negara juga perlu ditamatkan segera bagi memberi laluan kepimpinan generasi muda masa depan Malaysia yang bertanggungjawab dan mampu memikul amanah dengan ruh Islam yang mulia dan jiwa Melayu murni.