“AKU teringin nak tanam sayur sendiri kat rumah ni, tetapi kat mana aku nak tanam, dahlah duduk kat kawasan rumah bertingkat, kalau kat kampung, ada juga ruang tanah untuk bercucuk tanam” adalah monolog dalaman mungkin bermain di fikiran kita yang hidup di kawasan bandar, tambahan tinggal di kawasan perumahan teres atau flat yang kekurangan ruang untuk bercucuk-tanam walaupun untuk keperluan sendiri.

Bagaimanapun keinginan untuk menanam sendiri sayur-sayuran untuk pemakanan harian yang menjadi halangan selama ini dapat direalisasikan apabila Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Fakulti Pertanian berjaya menghasilkan inovasi Konsep i-Laman Dapur.

Ketua penyelidik yang juga Ketua Jabatan Akuakultur, Fakulti Pertanian, Prof Dr Mohd Salleh Kamarudin berkata, penciptaan alat itu sesuai dengan laman dapur atau edible garden yang merupakan satu konsep bumi hijau untuk menggalakkan amalan bercucuk tanam makanan yang sesuai dengan ruang sedia ada dan memenuhi keperluan keluarga.

Menurutnya, ia menekankan konsep pengeluaran makanan untuk kegunaan sendiri sahaja. Sasaran utama adalah semua rakyat Malaysia yang tinggal di bandar atau di kampung dan murid sekolah.

“Justeru Fakulti Pertanian, memperkenalkan konsep i-Laman Dapur dengan menggabungkan tiga sistem iaitu piskiponik, hidroponik dan fertigasi.

“Konsep ini terdiri daripada tiga komponen iaitu tanaman, akuakultur dan ternakan. Konsep ini boleh menghasilkan ikan dan sayur-sayuran, termasuk herba di kawasan rumah kediaman yang tiada tanah untuk berkebun,” katanya kepada Kampus ketika ditemui di Ekspo Pertanian UPM baru-baru ini.

Konsep tersebut baru diperkenalkan kepada umum pada ekspo pertanian sempena Konvokesyen UPM kali ke-36 dan akan dipatenkan untuk dipamerkan di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2012 nanti.

Jadikan sebagai hobi

Sebelum ini kata Prof Salleh, konsep itu tertumpu kepada komersial sahaja iaitu kepada syarikat besar atau untuk projek penanaman yang besar menggunakan konsep sama.

“Namun apabila kami fikir terdapat  permintaan daripada isi rumah yang ingin menggunakan kaedah ini di rumah sendiri, kami pun mencipta konsep baru yang dinamakan i-Laman Dapur.

“Konsep ini lebih ringkas dengan saiz lebih kecil sesuai diletakkan di ruangan sempit seperti di rumah atau kawasan pejabat dengan kos yang mampu dikeluarkan pengguna,” katanya. Selain itu katanya, ia juga boleh dijadikan sebagai hobi dan landskap kawasan rumah atau bangunan.

“Jenis ikan yang boleh digunakan untuk i-Laman ini seperti tilapia merah, keli, puyu, koi, sepat dan ikan selain ikan hiasan agar najis ikan ini diproses untuk dijadikan baja tanaman.

“Manakala jenis sayuran yang boleh ditanam melalui kaedah ini antaranya sawi, bayam, kangkung, cili, pandan, selasih, rosmery, pudina, kaduk, dan ulam raja,” katanya.

Sementara Penolong Pegawai Penyelidikannya, Muhammad Syahrizan Sahabudin berkata, kebaikan menggunakan i-Laman Dapur ini ialah boleh dibuat sendiri dengan berbagai-bagai saiz.

“Ia juga boleh dibuat menggunakan bahan-bahan yang mudah diperoleh seperti paip air, saluran pam dan akuarium ikan.

“Selain itu dapat menghasilkan sayuran segar secara organik atau separa organik serta menjimatkan perbelanjaan dapur,” katanya.

Proses tiga dalam satu

Syahrizan turut menerangkan bagaimana i-Laman Dapur ini berfungsi. Proses pertama bermula dengan pengepaman sisa terlarut (najis ikan) daripada akuarium ikan, seterusnya diproses menggunakan kaedah piskiponik dan disalurkan kepada tanaman hidroponik dan fertigasi.

“Anggaran untuk sekurang-sekurangnya sembilan tanaman memerlukan sebanyak 20 ekor ikan sederhana dalam sebuah akuarium.

“Hal ini kerana jumlah baja berdasarkan jumlah ikan, semakin banyak ikan semakin banyak tanaman boleh dihasilkan,” jelasnya.

Menurutnya, harga bagi yang berminat untuk memiliki i-Laman Dapur ini dianggarkan RM300 hingga RM500 bergantung pada saiz i-Laman tersebut.

“Pembeli juga tidak perlu risau sekiranya i-Laman ini mengalami kerosakan, kerana satu sahaja punca berlakunya kerosakan seperti pengaliran lancar adalah disebabkan masalah pam atau paip saluran yang boleh ditukar dengan harga rendah.

“Tempat yang paling sesuai diletakkan i-laman adalah di kawasan berbumbung atau redup tanpa terus terkena cahaya matahari. Namun ia bergantung juga kepada jenis tanaman yang hendak ditanam, sekiranya tanaman berkenaan memerlukan banyak cahaya, ia boleh diletakkan di luar rumah tanpa berbumbung,” katanya.