Namanya pernah popular satu ketika dahulu sekitar tahun 2001. Malah lagunya yang berjudul, Keranamu Kekasih, menjadi siulan anak muda dan sering diputarkan di corong-corong radio tempatan. Pun begitu, anak kelahiran Kangar, Perlis ini seakan merajuk dalam dunia seni apabila mengambil keputusan untuk berhenti meneruskan kariernya dalam bidang nyanyian.

Lebih dikenali sebagai Illa Sabry, wanita manis ini mengakui, dia perlu membuat pilihan tepat supaya masa depan yang dirancang tidak kecundang di tengah jalan. Bercerita mengenai kehilangan
dalam industri seni, Illa berkata, bukan kerana tidak mendapat tempat di hati peminat muzik tempatan, sebaliknya dia mahu memberikan tumpuan kepada pendidikan dan keluarga terlebih dahulu.

"Saya akui mungkin ketika itu saya masih muda dan mentah dalam buat percaturan hidup. Menyanyi adalah minat saya, dan apabila ditawarkan untuk menjadi penyanyi, saya terima tawaran tersebut dengan hati terbuka. Namun, saya lupa bahawa menjadi penyanyi perlukan banyak pengorbanan dan waktu itu pula saya sedang menyambung pelajaran di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang.

"Dek kerana kesibukan masa dan memberikan perhatian kepada bidang nyanyian, pelajaran saya abaikan sehingga mendapat gred yang teruk dalam peperiksaan," ujar pemilik nama sebenar Fasillah Sabry ini.

Menyambung perbualannya, Illa berkata, gara-gara pencapaiannya yang kurang memuaskan dalam peperiksaan, dia diberi amaran oleh ayahnya, Sabry Ali, 58.

"Bila mendapat teguran daripada ayah, saya sedar yang saya perlu betulkan kesilapan diri. Lagi pun ketika itu, banyak perkara yang berlaku kepada karier saya sehingga saya membuat keputusan untuk berhenti menyanyi," katanya.

Ditanya apakah perasaan ketika perlu mengundurkan diri di saat namanya sedang meningkat, jelas Illa, walaupun terpaksa dia reda.

"Bukan saya sengaja, sebaliknya ada sebab tertentu. Lebih-lebih lagi saya tidak bersedia menerima perubahan yang berlaku sewaktu itu. Tanpa sokongan yang kuat daripada pihak tertentu, saya
pasti kecundang dan mampu bertahan seketika sahaja," katanya yang berhenti menyanyi pada tahun 2004.


Pernah dihalang

Walaupun pembabitannya dalam bidang seni pernah dihalang bapanya, namun minat Illa terhadap bidang nyanyian tidak pernah terhenti. Bahkan, Illa juga bakal membuat kemunculan semula
tidak lama lagi.

Ditanya dengan persoalan adakah kedua orang tuanya kini membenarkan dia kembali ke dunia seni, jelas Illa, dia bersyukur selepas apa dilaluinya selama ini, keluarga akhirnya memberikan restu
untuk kembali menyanyi.

"Syukur, mereka memberikan sokongan penuh kepada saya, mungkin sebelum ini saya belajar jadi mereka bimbang saya tidak mampu mengawalnya. Bagaimanapun sekarang tidak lagi, jadi adalah lebih mudah bagi saya untuk serius menyanyi," katanya.

Sementara itu, Sabry berkata, dia tidak pernah menghalang anaknya itu melibatkan diri dalam bidang seni.

"Saya dan ahli keluarga yang lain sentiasa menyokong apa sahaja yang dilakukannya. Yang penting dia pandai menjaga diri dan berjaya," katanya.

Jelas Sabry, sebagai ayah, dia berbangga kerana dikurniakan anak seperti Illa. "Alhamdulillah, dia seorang anak bertanggungjawab. Sebagai anak sulung, dia tidak pernah melupakan tugasnya
kepada keluarga. Selain membantu mencari rezeki lebih kepada kami, dia juga sentiasa utamakan keluarga dalam apa sahaja perkara dilakukan.

"Semangat dalam dirinya sangat tinggi. Sebab itu, jika mahukan sesuatu, dia pasti memilikinya," kata Sabry.


Tak sabar beraksi

Mengakui tidak sabar kembali beraksi, Illa berkata, dia berharap kemunculan semulanya ini mendapat sokongan yang baik daripada peminat. Bukan sekadar omongan kosong, Illa sedia menggegarkan industri muzik dengan empat single terbaru.

"Tahun ini adalah masa yang tepat untuk saya muncul kembali. Saya yakin, walaupun ramai yang sudah melupakan saya, tetapi kehadiran saya nanti pasti mengubati kerinduan peminat setia saya. Jadi sebagai hadiah kepada mereka dan pengenalan kepada peminat muzik kini, saya hasilkan semula lagu Keranamu Kekasih," ujarnya yang bernaung di bawah syarikat rakamannya
sendiri, Illa Sabry Production.

Mengulas lanjut mengenai lagu tersebut, Illa berkata, Keranamu Kekasih akan diberikan nafas baru sepenuhnya. "Bila lagu ini diputarkan semula, pasti mereka kembali mengingati saya, jadi ia adalah percubaan dan permulaan saya mengorak langkah. Jadi atau tidak, saya reda," jelasnya yang mendapat kerjasama Sheikh Qalam Sdn. Bhd.

Selain itu, Illa menjelaskan, dia juga akan muncul buat kali pertama Sabtu ini, sebagai artis undangan untuk membuat persembahan bagi satu program. "Sudah lama rasanya tidak berhadapan dengan orang ramai, saya harap saya mampu melakukan yang terbaik," katanya.

Bagi Illa, untuk mendapat tempat dalam bidang seni, selain mempunyai bakat, mereka juga perlu mempunyai daya penarik dan personaliti tersendiri. "Buat masa sekarang saya juga dalam
proses menurunkan berat badan, bagi saya amat penting untuk tampil menawan di mata peminat. Cukuplah, sekali saya pernah dikritik teruk gara gara penampilan saya dahulu," katanya.

Mengusik persoalan mengenai kehidupan peribadinya, Illa berkata, hatinya masih belum dimiliki. "Saya memang mempunyai ramai kawan, tetapi untuk hidup bersama, masih belum nampak siapakah orangnya. Pun begitu, saya harap tahun hadapan saya dapat mengakhiri zaman bujang saya," ujarnya mesra.


Urus perniagaan

Dalam perkembangan lain, pemilik Kafe Kerisik yang terletak di Danau Kota, Setapak ini berkata, dia kini lebih senang memberikan tumpuan kepada perniagaan kafe dan pengiklanan yang dijalankan.

"Kafe ini adalah lambang keluarga saya. Bila ayah memberikan idea untuk membuka ini, saya menerima cadangan sepenuhnya. Sebab itulah, segala persiapan dan perjalanan kedai ini diuruskan oleh saya.

"Bagi saya, perniagaan ini adalah salah satu hadiah saya kepada keluarga. Selain dapat membantu mereka mencari lebih rezeki, secara tidak langsung ia membuka peluang saya untuk melebarkan sayap dalam bidang ini," kata anak sulung daripada lima beradik.

Ditanya mengenai nama kafe tersebut, jelas Illa dia memilih nama Kerisik sempena nama kampung halamannya. "Saya orang Kerisik, Kangar, jadi saya abadikan nama ini sebagai tanda ingatan
dan kenangan kepada keluarga," ujarnya yang menguruskan kafe itu bersama empat adiknya.

Menariknya, kafe itu memberikan makna kepada Illa apabila dibuka pada tarikh yang sama dengan ulang tahun kelahirannya iaitu 15 Mac lalu. Pada masa sama, Illa adalah pemilik syarikat Northern Alley Sdn. Bhd. yang sediakan perkhidmatan pengiklanan.